Bahang Pertandingan Makin Hangat
Posted on 21 May 2013
 
“Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah F&N Beverages dan MPPP" Semakin Hangat: Sekolah Bertekad untuk Pecah Rekod Masing-masing Pada Tahun Kedua

Pulau Pinang – Bahang pertandingan antara sekolah-sekolah di Pulau Pinang semakin hangat apabila  mereka semakin hampir untuk memecah rekod masing-masing pada tahun kedua Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah F&N Beverages and Majlis Perbandaran Pulau Pinang yang dianjurkan bersama oleh F&N Beverages Marketing Sdn Bhd dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dengan sokongan Jabatan Pelajaran Pulau Pinang.

Para guru dan pelajar dari SJK (C) Perempuan Cina (kiri) dan SMK (P) Methodist (kanan) amalkan kitar semula

Satu bulan sebelum pertandingan berakhir, mereka sudah memperlihatkan keputusan yang memberangsangkan, dengan tiga puluh empat (34) daripada tujuh puluh lapan (78) sekolah yang menyertai kempen setakat ini berjaya mengutip 16,727kg bahan kitar semula, iaitu 78% daripada jumlah keseluruhan kutipan pada tahun lepas.

SJK (C) Hu Yew Seah setakat ini mendahului persaingan keseluruhan dan dalam kategori sekolah rendah dengan kutipan yang memberangsangkan berjumlah 3,149.5kg, manakala pemenang tempat ketiga kategori sekolah menengah tahun lepas, SMJK Sacred Heart, mendahului kategori sekolah menengah dengan kutipan sebanyak 1,957kg.

Juara bertahan bagi kategori sekolah menengah, SMK (P) Methodist, masih ketinggalan di tempat keempat, tetapi tidak mahu menyerah kalah kerana mereka percaya mereka mampu mempertahankan kejuaraan sebelum tarikh tutup pertandingan.

Menurut guru projek Puan Looi Lai Wah, SMK (P) Methodist sentiasa menyertai pelbagai pertandingan hijau dan telah menjadi juara atau naib juara dalam pertandingan Anugerah Sekolah Hijau selain menjuarai Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah F&N Beverages dan MPPP yang dianjurkan buat pertama kalinya pada tahun lepas.


Guru dan pelajar dari SMK Tanjong Bunga melakukan amalan kitar semula di sekolah

Puan Looi percaya bahawa sekolahnya masih berpeluang untuk menang sambil menjelaskan strategi mereka, “Kami tetapkan sasaran bahawa setiap pelajar hendaklah mengitar semula sekurang-kurangnya 5 kg kertas atau 10 botol plastik atau 10 tin pada setiap hari yang dikhaskan untuk kitar semula.”

Kempen akan berakhir pada bulan Jun dan penganjur yakin sekolah-sekolah yang turut serta akan bekerja keras untuk memecah rekod masing-masing.

Menurut Cariessa Goh, Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, “Berdasarkan kemajuan yang dicapai setakat ini, kami yakin bahawa pelajar berpeluang untuk memecahkan rekod mereka sendiri!”

“Kitar semula adalah salah satu cara yang terbaik untuk  mendatangkan kesan positif yang mampan dan berterusan kepada bumi yang kita huni ini. Kami teruja melihat betapa pertandingan ini telah dapat sedikit-sebanyak memperbaiki dan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kitar semula di kalangan pelajar,” tambah Goh.

Kempen ini dibahagi kepada dua kategori – sekolah rendah dan sekolah menengah – dan sekolah yang menyertai perlumengitar semula bahan-bahan yang boleh dikitar semula seperti tin aluminium, botol plastik dan kertas. Sekolah dalam kedua-dua kategori berpeluang untuk memenangi sebahagian daripada hadiah wang tunai berjumlah RM15,100 berdasarkan kutipan perkapita di setiap sekolah.

Sekolah yang mengumpul bahan kitar semula paling berat, berdasarkan kutipan perkapita, akan memenangi hadiah utama RM1,300. Sekolah yang menduduki tempat kedua akan menerima RM1,100 dan tempat ketiga RM900. Pemenang tempat keempat dan kelima masing-masing akan menerima RM800 dan RM700, manakala sekolah yang mendapat tempat keenam hingga kesepuluh masing-masing akan menerima RM600, RM500, RM400, RM300 dan RM200.

Tiga Anugerah Khas dengan hadiah berjumlah RM900 akan juga diberikan kepada sekolah yang mengumpul bahan aluminium, plastik dan sisa elektronik terbanyak.

Ciri baru kempen tahun ini ialah kemasukan e-sisa, atau sisa elektronik, yang membolehkan sekolah mengutip komputer lama dan peralatan elektronik terpakai yang lain.

Kategori e-sisa telah diperkenalkan dalam pertandingan tahun ini untuk membantu memberi kesedaran kepada masyarakat tentang  pengurangan sisa buangan yang merupakan isu semasa  yang perlu ditangani dan setiap individu boleh memainkan peranan mereka dengan mengamalkan tabiat kitar semula yang boleh membantu mengurangkan sisa buangan mereka.

Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah F&N Beverages dan MPPP dianjurkan bersama oleh F&N Beverages dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang dalam usaha untuk melindungi dan memulihara alam sekitar, dengan sokongan Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang (JPNPP), untuk mendidik pelajar sekolah tentang pentingnya kitar semula.

Pertandingan ini dianjurkan serentak dengan Kempen Kitar Semula F&N Beverages dan MBSA di Shah Alam, Selangor, yang telah memasuki tahun ketujuh dan akan berakhir pada bulan Ogos 2013.

 
MENGENAI F&N BEVERAGES MARKETING SDN BHD

F&N Beverages Marketing Sdn Bhd dan F&N Beverages Manufacturing Sdn Bhd (secara kolektif F&N Beverages) membentuk bahagian minuman ringan Fraser & Neave Holdings Bhd.  F&N Beverages adalah pengedar dan pengeluar minuman ringan terbesar di Malaysia dan mempunyai tenaga kerja kira-kira 1,400 kakitangan yang ditempatkan di 23 pejabat di seluruh negara.  Syarikat ini mengendalikan lima kilang pengeluaran di seluruh negara, termasuk kemudahan pengeluaran moden lagi canggih di ibu pejabatnya di Shah Alam, Selangor.  F&N Beverages mengedarkan produk F&N yang merangkumi 100PLUS, F&N Fun Flavours, SEASONS, myCola, Fruit Tree, Air Mineral Ice Mountain dan Kordial F&N.  Syarikat ini juga mengedarkan produk Red Bull di Malaysia.  Untuk maklumat selanjutnya, sila ke laman web www.fnbm.com.my


«  Back