F&N Beverages dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang Lancar Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah Edisi Kedua
Posted on 06 March 2013
 
Pulau Pinang - F&N Beverages Marketing Sdn Bhd kembali untuk menganjurkan "Pertandingan Kitar Semula F&N Beverages & MPPP 2013" kedua setelah kejayaan pertandingan tahun 2012 hasil gandingan bersama Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang akan menyaksikan sekolah-sekolah dari Pulau Pinang bersaing untuk merebut sebahagian dari jumlah RM14,800 wang tunai.


(Dari kiri) Puan Cariessa Goh, Pengurus Hal Ehwal Korporat, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Dato' Patahiyah Bt. Ismail, Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Encik Mohd Jamil b. Haji Othman, Ketua Unit Ko-kurikulum,Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang di Majlis Pelancaran Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah 2013 anjuran F&NBM dan MPPP

Sekolah-sekolah yang menyertai dikehendaki mengumpul barang-barang yang boleh dikitar semula seperti tin aluminium, botol plastik dan kertas untuk dikitar semula. Satu pembaharuan bagi kempen tahun ini ialah kemasukan e-sisa (e-waste), atau sisa elektronik, yang secara amnya merujuk kepada barang-barang terbuang seperti komputer, peralatan elektronik pejabat seperti pencetak atau mesin faks, peranti hiburan elektronik seperti kaset dan pemain video, telefon bimbit dan set televisyen yang dibuang.

Bercakap di majlis pelancaran, Puan Cariessa Goh, Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Beverages menegaskan bahawa objektif kempen adalah untuk meningkatkan tahap kesedaran dan memupuk mesej kepentingan kitar semula di kalangan pelajar sekolah, sambil menyemai tabiat kitar semula daripada muda dan menggalakkan mereka untuk berkongsi semangat kitar semula dalam masyarakat.

“F&N Beverages akan terus mempromosikan mesej 4R iaitu Reduce (Pengurangan), Reuse (Guna semula), Recycle (Kitar Semula) dan Rethink (Fikir Dahulu), tetapi kita juga kenalpasti isu lain seperti peningkatan jumlah sisa elektronik atau e-sisa.

"Kami memperkenalkan kategori e-sisa dalam pertandingan tahun ini kerana kami berharap ini akan membantu mencetuskan perubahan dalam masyarakat kita untuk menyedari bahawa pengurangan sisa adalah sememangnya satu masalah yang kita perlu tangani dan kitar semula adalah satu amalan paling berkesan kita boleh gunakan untuk mengurangkannya,” tambah Goh.

Tahun ini, Pertandingan Kitar Semula F&N Beverages & MPPP juga dijalankan bersempena dengan Anugerah Sekolah Hijau 2013, satu usaha yang dianjurkan oleh MPPP sebagai menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan kesedaran ke arah pengurangan sisa dan amalan kitar semula seawal bangku persekolahan.

Sekolah-sekolah yang mengambil bahagian dalam Pertandingan Kitar Semula F&N Beverages & MPPP akan mempunyai kelebihan mendapatkan mata untuk aktiviti kitar semula mereka, sebagai sebahagian daripada kriteria penilaian untuk Anugerah Sekolah Hijau 2013.

Kempen tiga bulan akan dijalankan dari 18 Mac sehingga 18 Jun dan seperti pada tahun-tahun sebelumnya, pertandingan dibahagikan kepada dua kategori iaitu sekolah rendah dan menengah.

Bagi kedua-dua kategori, sekolah dengan barangan kitar semula paling berat untuk setiap pelajar, akan memenangi hadiah utama RM1,300. Tempat kedua akan menerima RM1,100 dan tempat ketiga RM900. Tempat keempat dan kelima masing-masing akan menerima RM800 dan RM700.

Sekolah tempat keenam hingga kesepuluh akan menerima RM600, RM500, RM400, RM300 dan RM200 masing-masing. Dua Anugerah Khas dengan hadiah RM600 setiap satu juga akan diberikan kepada sekolah, sama ada rendah atau menengah, yang mengumpul bahan aluminium dan plastik paling banyak.

Komitmen syarikat terhadap perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar yang selaras dengan inisiatif ‘Go Green’ Kumpulan F&N untuk meningkatkan kesedaran dan amalan hijau, adalah dengan inisiatif kempen sebelumnya seperti, “Kempen Kitar Semula F&N Beverages & MBSA” yang berkembang daripada pertandingan mengitar semula kepada usaha penuh masyarakat dengan sokongan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), yang kini telah memasuki tahun ketujuh penganjuran secara berturut-turut.

Pelancaran kempen telah dirasmikan bersama oleh Goh dan  Dato' Patahiyah binti Ismail, Yang DiPertua, Majlis Perbandaran Pulau Pinang.

Sekolah-sekolah yang menang akan dianugerahkan di satu majlis penyampaian hadiah yang dijadualkan diadakan pada hujung bulan Jun 2013.

MENGENAI F&N BEVERAGES MARKETING SDN BHD
F & N Beverages Marketing Sdn Bhd dan F & N Beverages Manufacturing Sdn Bhd (secara umumnya dikenali sebagai F&N Beverages) membentuk bahagian minuman ringan Fraser & Neave Holdings Bhd.  F&N Beverages adalah pengedar dan pengilang minuman ringan terbesar di Malaysia dan mempunyai jumlah keseluruhan tenaga kerja seramai 1,400 orang di 23 pejabat di seluruh negara. Syarikat mengendalikan empat kilang pembuatan di seluruh negara, termasuk kemudahan tercanggih di ibu pejabatnya di Shah Alam, Selangor. F&N Beverages mengedarkan produk F&N yang terdiri daripada 100PLUS, F&N Fun Flavours, myCola, SEASONS, Fruit Tree, Zesta, Air Mineral Ice Mountain dan kordial F&N. Di Malaysia, syarikat juga mengedarkan produk Red Bull. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.fnbm.com.my


«  Back