Kesejahteraan Berganda Bagi Warga Emas Rumah Orang Tua Simee dan Sarawak Hun Nam Siang Tng
Posted on 22 February 2013
 
Paluan gendang Cina yang mengasyikkan mengiringi gerak lincah tarian singa, disusuli lambungan yee sang dan hidangan makanan lazat berserta longgokkan limau mandarin - sebahagian gambaran dari jamuan makan tengah hari Tahun Baru Cina yang dianjurkan oleh F&N Beverages Marketing Sdn Bhd untuk menyambut Tahun Ular bersama penghuni-penghuni Rumah Orang Tua (CWS) Simee di Ipoh dan Sarawak Hun Nam Siang Tng di Kuching.
 
 

Jamuan makan tengah hari seperti ini telah menjadi tradisi tahunan bagi F&N Beverages sejak dua belas tahun lalu dan ianya dilihat sebagai salah satu daripada usaha hubungan kemasyarakatan disamping berkongsi kemeriahan perayaan dan juga rezeki dengan golongan yang kurang bernasib baik di Malaysia.

Sambutan perayaan berganda di Rumah Orang Tua (CWS) Simee di Ipoh dan Sarawak Hun Nam Siang Tng di Kuching kali ini merupakan yang kedua diadakan oleh F&N Beverages bersama penghuni-penghuni rumah-rumah tersebut, setelah mengadakan sambutan yang sama masing-masing pada tahun 2009 dan  2010.

F&N Beverages menyediakan hidangan mewah untuk 48 penghuni Rumah Orang Tua (CWS) Simee, yang berusia antara 65 hingga 103 tahun diikuti dengan persembahan tarian singa yang menghiburkan. Diketuai oleh Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Beverages, Pn Cariessa Goh, penghuni-penghuni  juga turut  bersama-sama bersuka-ria sambil menikmati hidangan yee sang dengan harapan agar dianugerahkan kesihatan dan rezeki yang baik.

Penghuni-penghuni juga diberikan perkhidmatan pemotongan rambut percuma sebagai salah satu layanan istimewa, ihsan dari Chili Salon milik Encik Eugene Chan di Ipoh.

Penghuni rumah tertua pada usia 103 tahun, Puan Rosummah Soosai gembira mendapat kunjungan kerana ramai daripada mereka tidak mempunyai saudara-mara atau orang tersayang yang melawat dan meluangkan masa dengan mereka.

Pentadbir Rumah Pn Helen Lai Yuke Chune menjelaskan bahawa rumah tersebut menyediakan penjagaan percuma, tempat tinggal dan makanan untuk warga tua, terutamanya mereka yang tidak mempunyai ahli keluarga yang boleh member perhatian kepada mereka, ataupun mereka yang telah ditinggalkan.

Rumah warga tua ini ditubuhkan pada tahun 1952 dan baru-baru ini telah menyambut ulang tahun ke 60. Ianya bergantung sepenuhnya kepada sumbangan orang ramai dan geran untuk menjalankan operasi, serta sokongan daripada Perkhidmatan Kebajikan Katolik.
  
“Kami sangat berterima kasih kepada syarikat-syarikat seperti F&N kerana di samping membantu memberikan beberapa keperluan harian kepada kami ia juga membantu kami dengan melakukan sesuatu untuk meluangkan masa dengan penghuni rumah kami semasa musim perayaan. Ia membantu mengingatkan mereka bahawa masih terdapat orang yang mengambil berat,” tambah Helen.

Bercakap pada jamuan makan tengah hari itu, Cariessa Goh berkata F&N berbesar hati dapat membantu dan menyumbang kepada kebajikan warga tua, serta membolehkan mereka berkongsi kemeriahan dan suasana  musim perayaan yang biasanya diluangkan bersama keluarga dan orang tersayang.

"Kami percaya dengan amalan berkongsi dengan anggota masyarakat sama ada kanak-kanak mahupun warga tua dimana kami menganggap ianya adalah sebahagian daripada usaha memberi semula kepada masyarakat yang telah menyokong kami selama lebih empat generasi,” tambah Goh.

F&N Beverages juga turut  melanjutkan sambutan meriah ke Malaysia Timur, dengan membawa keceriaan dan kegembiraan kepada 29 penghuni Rumah Sarawak Hun Nam Siang Tng di Kuching.

 

Syarikat turut memberikan angpau kepada setiap penghuni dan menyumbang bekalan  dan keperluan asas untuk penghuni-penghuni di kedua-dua buah rumah yang bernilai RM5,000.00.

Setiausaha Sarawak Hun Nam Siang Tng, Pn Ng Luan Eng menjelaskan bahawa angpau yang diterima adalah sesuatu yang dinantikan oleh warga tua kerana setiap daripada mereka diberi sedikit wang setiap bulan sebagai wang saku. Oleh demikian, angpau merupakan satu hadiah yang berharga bagi mereka.

Sarawak Hun Nam Siang Tng yang ditubuhkan pada tahun 1956 juga merupakan organisasi amal yang bergantung semata-mata kepada sumbangan orang ramai. Ianya  menyediakan makanan dan tempat tinggal untuk warga tua yang miskin dan tiada tempat tinggal.

F&N, pengedar dan pengeluar minuman ringan terkemuka di Malaysia, turut menganjurkan pelbagai inisiatif kemasyarakatan di pelbagai majlis perayaan yang lain. Syarikat juga menjalankan program-program pendidikan dan pembangunan lain bagi mereka yang kurang bernasib baik di seluruh Malaysia, termasuklah menubuhkan Bilik Integrasi Sensori F&N di sekolah-sekolah untuk memenuhi keperluan pelajar istimewa dan Sudut Iqra F&N untuk menggalakkan budaya membaca di kalangan pelajar-pelajar sekolah.


«  Back