Sudut IT F&N dan Pensijilan ICDL Perkukuhkan Kemahiran ICT Pelajar Monfort
Posted on 07 January 2013
 
SHAH ALAM – Dalam suasana masyarakat kini yang celik teknologi, literasi dan kemahiran mengguna komputer merupakan keperluan asas penting yang diberi keutamaan oleh majikan apabila menyaring calon-calon berpotensi untuk diambil bekerja kelak.

Menyedari hakikat ini, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd  telah memulakan program Sudut IT F&N pada 2010 untuk memberikan peluang lebih cerah kepada para remaja yang kurang bernasib baik apabila mereka menjejakkan kaki ke dunia pekerjaan.

Selaras dengan program mampan korporat F&N yang menyokong kecemerlangan pendidikan, Sudut IT F&N bermatlamat bukan sahaja untuk menyediakan komputer kepada semua pelajar yang menjadi sebahagian dari program tersebut, malah memastikan setiap pelajar dilengkapi dengan pensijilan International Computer Driving License (ICDL).
 

Para pelajar Monfort yang dilengkapi dengan pensijilan ICDL

Pensijilan ICDL menyediakan pelajar dengan kemahiran komputer dan teknologi komunikasi maklumat yang bermanfaat apabila mereka bersaing didalam pasaran perkerjaan kelak.

Sudut IT F&N yang pertama telah ditubuhkan di Montfort Boys Town, diikuti dengan Pusat Belia Montfort di Melaka pada 2012, dan pusat ketiga ditubuhkan di Montfort Girls Centre pada Oktober 2012.

Sehingga kini, F&N telah melabur RM175,000 ke dalam projek Sudut IT F&N dengan melengkapkan pusat-pusat tersebut dengan peralatan komputer, pencetak, projektor, akses internet serta pembiayaan untuk menjalankan program ICDL.

Bercakap di majlis yang mengiktiraf 45 pelajar dari Montfort Boys Town dan Montfort Girls Centre yang telah melengkapkan kursus ICDL baru-baru ini, Cariessa Goh, Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Beverages berkata bahawa syarikat merancang untuk meneruskan usahanya supaya pelajar baru juga turut mendapat faedah daripada  Sudut IT F&N dan program ICDL. Sehingga kini, 75 pelajar Montfort telah berjaya menamatkan kursus tersebut.

“Pelaburan ini amat berhasil dan berjaya bagi F&N kerana kami dapat membantu pelajar-pelajar kurang bernasib baik untuk melengkapkan diri mereka sebagai tenaga kerja yang berkemahiran, seterusnya sedikit sebanyak menjamin masa depan yang lebih baik buat mereka.”

Program ICDL terdiri daripada tujuh modul yang membangunkan kemahiran individu dalam penggunaan komputer dan aplikasi umum seperti pemahaman konsep asas teknologi komunikasi maklumat (ICT, penggunaan komputer dan penggurusan fail, pemprosesan perkataan, penggunaan hamparan elektronik (spreadsheet) dan pangkalan data, program persembahan serta maklumat dan komunikasi. Para pelajar dikehendaki lulus sekurang-kurangnya empat modul yang menguji pengetahuan dan kemahiran komputer mereka selepas menerima latihan selama enam hingga lapan bulan.

Inisiatif pendidikan F&N Malaysia untuk kanak-kanak kurang bernasib baik di seluruh Malaysia selain Sudut IT F&N termasuk Bilik Integrasi Sensori F&N di sekolah-sekolah yang memenuhi keperluan pelajar keperluan khas dan Sudut Iqra F&N yang menggalakkan tabiat membaca dan membina keyakinan di kalangan pelajar sekolah.


«  Back