F&N Beverages Tunaikan Hasrat 35 Kanak-kanak
Posted on 13 December 2012
 
IMPIAN HARI KRISMAS....

Krismas berkait rapat dengan semangat memberi, dan ianya direalisasikan oleh kakitangan F&N Beverages Marketing Sdn Bhd yang mengeluarkan duit poket mereka sendiri bagi memenuhi hasrat 35 kanak-kanak dari Pusat Jagaan Siddharthan di Petaling Jaya.
Jenama F&N sudah lama sebati dengan semua perayaan di Malaysia, lebih-lebih lagi dengan rangkaian produknya yang amat sinonim dengan sambutan pelbagai hari kebesaran dan kebudayaan. F&N juga turut menganjurkan pelbagai aktiviti-aktiviti tertentu sepanjang tahun untuk berinteraksi dan berkongsi dengan para individu yang kurang bernasib baik.

Kali ini, F&N Beverages menggalakkan para kakitangannya menjadi pembantu Santa Claus dengan membantu memenuhi senarai permintaan (wish list) yang ingin dimiliki oleh kanak-kanak di pusat Jagaan Siddharthan.

Antara lain, senarai berkenaan turut memuatkan barangan keperluan harian seperti pakaian baru dan peralatan sukan seperti but bola sepak.  Setiap kanak-kanak diperuntukkan wang sejumlah RM200 dimana para pekerja F&N  boleh memilih untuk menaja seorang atau lebih kanak-kanak. Para pekerja juga boleh berkongsi bersama seorang rakan kerja lain untuk berbuat demikian. 

Selain dari sumbangan yang diberikan oleh para pekerja individu, ketua jabatan dari pelbagai bahagian di syarikat juga turut menggabungkan sumber mereka untuk membeli lima katil dua tingkat dan barangan keperluan yang lain. Jumlah keseluruhan sumbangan dari para pekerja mencecah RM10,000.
 
(Nota: Sila klik di sini untuk gambar majlis)
 
Sambutan di Pusat Jagaan Siddharthan bermula dengan ketibaan konvoi F&N yang diketuai oleh Santa Claus. Ucapan cerianya “Ho, Ho, Ho” menggembirakan kanak-kanak, diiringi dengan pelbagai hadiah yang dibawa oleh Santa. Hari istimewa berkenaan mendapat sentuhan akhir yang sesuai apabila hadiah yang menggunung banyaknya diletakkan di pangkal dua pokok Krismas di pusat tersebut.

Khalid Alvi, Pengarah Urusan F&N Beverages Marketing Sdn Bhd mengucapkan terima kasih kepada Pusat Jagaan Siddharthan kerana menyambut kedatangan mereka dengan penuh ceria serta memberi peluang kepada F&N Beverages untuk merayakan Krismas bersama kanak-kanak di pusat tersebut.

“Bagi F&N, sambutan perayaan pasti kurang lengkap tanpa sambutan meriah  dengan berkongsi keceriaan dengan mereka yang kurang bernasib baik dan hidup dalam serba kekurangan. Dalam menjiwai semangat Krismas ini, keupayaan untuk memberi itu sebenarnya adalah satu anugerah. Saya amat gembira F&N dapat membantu menunaikan hasrat kanak-kanak serta turut membantu memperlengkapkan keperluan pusat ini.”

Santa dan pembantunya iaitu dua Santarina turut mengiringi kakitangan F&N yang berpeluang bertemu dan memberi sendiri hadiah kepada kanak-kanak yang tidak sabar-sabar menanti untuk mengetahui sekiranya hasrat  mereka menjadi kenyataan.

Kanak-kanak pusat jagaan tersebut turut menikmati juadah hebat dan enak yang dilengkapi juga dengan pelbagai buah tangan bertemakan perayaan Krismas. Mereka terhibur dengan pelbagai aktiviti seperti lukisan muka dan permainan yang disediakan.

S.K. Manimaran, pentadbir Pusat Jagaan Siddharthan berterima kasih di atas sumbangan yang diterima dari F&N Beverages dan percaya bahawa kanak-kanak Siddharthan akhirnya dapat merasakan semangat perayaan Krismas.

“Saya berterima kasih kepada F&N Beverages dan kakitangannya kerana bermurah hari menyumbang kepada keperluan kanak-kanak di pusat kami. Lebih penting lagi adalah kanak-kanak ini sedar bahawa masih ada ramai yang mengambil berat tentang diri mereka,” tambah beliau.

Pusat Jagaan Siddharthan didirikan pada Januari 2008 sebagai sebuah pusat untuk kanak-kanak kurang upaya dan yatim piatu. Buat masa ini, kanak-kanak yang tinggal di pusat tersebut merangkumi usia semuda satu sehingga lapan belas tahun. Pusat ini turut memberikan latihan vokasional dan pendidikan khas, dan pada masa yang sama, memberikan tempat perlindungan, jagaan dan kasih sayang kepada anak-anak yang tinggal di pusat tersebut. 


«  Back