SK TTDI Jaya dan SMK Seksyen 19 Kekal Juara Kempen Kitar Semula F&N Beverages & MBSA Edisi Keenam
Posted on 18 October 2012
 
SHAH ALAM – Juara bertahan S.K. TTDI Jaya mengekalkan gelaran selaku juara buat tahun keempat berturut-turut  dalam kategori sekolah rendah dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,500 dengan jumlah kutipan barangan kitar Semula seberat 8,154.7kg. S.K. TTDI Jaya juga berjaya meraih Anugerah Khas bernilai RM600 kerana mengumpul jumlah plastik tertinggi iaitu sebanyak 41 peratus daripada jumlah plastik yang dikumpul di kalangan semua sekolah (rendah & menengah).

 Juara Lagi…Wakil S.K. TTDI Jaya menerima replika cek dari Cariessa Goh (tengah), Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd. dan Yang Berbahagia Tuan Mohtar Bin Hani (kanan), Timbalan Datuk Bandar Shah Alam
 
Seperti tahun 2011, S.K. Bukit Rimau juga kekal sebagai naib juara dengan kutipan bahan kitar semula sebanyak 5,872.5kg untuk membawa pulang RM1,300, manakala S.K. Alam Megah 2 dengan jumlah kutipan 3,541.5kg naik ke tempat ketiga tahun ini bagi memenangi wang tunai RM1,200. Melengkapkan lima sekolah teratas merupakan S.K. Bukit Naga dengan jumlah kutipan sebanyak 1,570.5kg di tempat keempat dan S.K. Alam Megah 3 dengan kutipan 1.193kg di tempat kelima, menerima hadiah  RM1,100 dan RM1,000 masing-masing.

Dalam kategori sekolah menengah, juara bertahan SMK Seksyen 19 berada dalam liga mereka tersendiri dengan kutipan sebanyak 14,463kg untuk gelaran juara menewaskan pesaing lainbagi tahun kedua berturut-turut dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500.
  

Dalam liga tersendiri…
Wakil dari SMK Seksyen 19 menerima replika cek dari Cariessa Goh (tengah), Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd. dan Yang Berbahagia Tuan Mohtar Bin Hani (kanan), Timbalan Datuk Bandar Shah Alam
SMK Seksyen 7 yang menduduki tempat kesembilan tahun lepas membuat kejutan  pada tahun ini apabila meraih gelaran naib juara dengan pungutan sebanyak 7,758 kg, sekaligus menjatuhkan SMK Alam Megah 2 ke tempat ketiga dengan kutipan kitar semula seberat 6,935.5kg. Kedua-dua sekolah tersebut membawa pulang hadiah wang tunai RM1,300 dan RM1,200 masing-masing di atas hasil usaha mereka.

SMK Seksyen 18 berjaya kembali berada dikelompok lima sekolah teratas tahun ini dengan kutipan sebanyak 4,042kg ditempat keempat dengan hadiah RM1,100, dan SMK Sultan Abdul Aziz Shah pula berjaya mengekalkan kedudukan tempat kelima mereka dan membawa pulang RM1,000. SMK Bukit Jelutong telah dianugerahkan dengan Anugerah Khas apabila berjaya mengumpul jumlah aluminium tertinggi sekaligus memenangi  hadiah wang tunai sebanyak RM600.
 

Kurangkan, Guna Semula, Kitar Semula
… Pemenang-pemenang Kempen Kitar Semula F&N Beverages dan MBSA
 
Kesemua sekolah yang berjaya mendapat tempat keenam hingga kesepuluh dalam kedua-dua kategori juga menerima hadiah wang tunai sebanyak RM200 masing-masing.

Kempen Kitar Semula tahunan F&N Beverages & MBSA yang telah masuk tahun keenampada tahun ini menyaksikan sebanyak 22 buah sekolah serta penduduk sekitar daerah Shah Alam membersihkan kawasan persekitaran mereka sambil mengumpul sebanyak 69,409.6 kg barangan kitar semula.

Bercakap pada upacara penyampaian hadiah baru-baru ini, Pn. Cariessa Goh, Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Beverages Marketing Sdn Bhd mengucapkan penghargaan kepada para pelajar, guru dan penduduk Shah Alam atas usaha mereka untuk mengekalkan kejayaan dan menghidupkan semangat kempen ini.

"Seperti yang kita semua maklum, matlamat kami dalam kempen ini adalah untuk berkongsi kesedaran terhadap usaha 3R iaitu Reduce, Reuse dan Recycle atau Kurangkan, Guna Semula dan Kitar Semula. Selain itu, matlamat kami juga adalah untuk menyemaikan tabiat kitar semula di kalangan anak-anak kita, serta menggalakkan masyarakat sekeliling mengikut jejak langkah mereka.

“Tahun ini, kami melakukannya dengan membuka penyertaan kempen untuk meliputi kategori Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di bawah pentadbiran MBSA. Kami juga turut melancarkan kempen seumpama ini untuk sekolah-sekolah di Pulau Pinang,” kata Goh.

Hadiah-hadiah pemenang Kempen Kitar Semula F&N Beverages dan MBSA ditaja oleh F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd. Majlis tersebut dihadiri oleh Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Tuan Mohtar bin Hani yang menyampaikan hadiah kepada para pemenang.


«  Back