SK Taman Bukit Subang & SK U3 Berkongsi Kemudahan Bilik Integrasi Sensori/Deria F&N Ke-3
Posted on 04 October 2012
 
Shah Alam – Sebilangan kanak-kanak tidak suka ke sekolah atas pelbagai sebab, sebaliknya bagi kanak-kanak istimewa yang memerlukan keperluan khas, menghadiri sekolah merupakan suatu cabaran.

Cabaran sedemikian  bukan sahaja boleh mengecewakan para pelajar tersebut, tetapi juga para guru yang bekerja keras untuk membantu mereka berdasarkan keperluan khas mereka.  Disebabkan ketiadaan Bilik Integrasi Sensori yang menyediakan kelengkapan yang sesuai untuk membantu kanak-kanak ini belajar kemahiran sosial, motor dan akademik, guru selalunya terpaksa menggunakan kaedah tersendiri untuk memberikan sokongan yang diperlukan oleh pelajar istimewa ini. 

Bagi 25 kanak-kanak istimewa di SK Taman Bukit Subang, masalah tersebut kini sudahpun diatasi apabila bilik Integrasi Sensori F&N yang ketiga telah ditubuhkan di sekolah mereka. Bilik berkenaan bukan sahaja mampu menampung keperluan pelajar di SK Taman Bukit Subang, malah 25 pelajar dari SK U3 yang terletak di seberang jalan juga akan dapat menggunakan kemudahan ini. 

Kemajuan yang ditunjukkan oleh pelajar istimewa dengan keperluan khas yang  mendapat manfaat hasil daripada dua pusat yang ditubuhkan sebelum ini telah mendorong pengeluar minuman ringan itu untuk meneruskan usahanya dengan penubuhan pusat ketiga.  Pusat pertama telah ditubuhkan pada 2010 di Sekolah Kebangsaan SS19, Subang Jaya untuk 30 pelajar, disusuli oleh Sekolah Kebangsaan TTDI 2 (68 pelajar) pada 2011.
 
Pelaburan syarikat dalam ketiga-tiga pusat ini hampir mencecah RM300,000 termasuk menyediakan peranti dan peralatan terkini yang sesuai untuk terapi integrasi sensori, mengendalikan latihan untuk guru dan ibu bapa, dan membuat penilaian berkala dengan bantuan Pakar Terapi yang bertauliah bagi mengukur kemajuan kanak-kanak.

Berucap di majlis pembukaan Bilik Integrasi Sensori F&N di S.K Taman Bukit Subang, Cariessa Goh, Pengurus Hal Ehwal Korporat, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd berkata F&N percaya bahawa setiap kanak-kanak berhak untuk mendapat pendidikan yang berkualiti.

“Ia adalah asas yang diperlukan untuk membantu mengasuh dan mendidik minda kanak-kanak supaya mereka boleh memberi kesan positif kepada masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan negara.
 
  

“Berdasarkan kepada empat penilaian utama sebagai penanda aras, 98 pelajar dari dua pusat pertama kami telah menunjukkan kemajuan purata hampir 65 peratus selepas hanya enam bulan didedahkan kepada kemudahan Bilik Integrasi Sensori F&N.  Kemajuan yang memberangsangkan ini memberi kami semangat untuk meneruskan usaha kami,” kata Goh. 

Para pelajar dinilai setiap enam bulan untuk mengukur kemajuan mereka, khususnya dari segi kemahiran menulis dengan tangan, koordinasi motor, persepsi visual dan kemahiran visi motor instrumen/alat (VMI), berdasarkan keperluan dan pencapaian setiap pelajar.

Bilik Integrasi Sensori dilengkapi pelbagai peralatan seperti buaian platform, flexidisc, alas getah keselamatan, panel sasaran, terowong rintangan, trampolin, tangga dinding tali dan beberapa peralatan lain yang menarik. Setiap peralatan mempunyai tujuan tertentu dalam merangsang integrasi sensori seperti meningkatkan ruang kesedaran, penumpuan, ketenangan dan kecerdasan sambil merangsang kepekaan sensori seperti penglihatan dan bunyi bagi membantu otak memproses dan mentafsir maklumat.

Goh menjelaskan bahawa sebahagian daripada formula yang menjamin kejayaan program Bilik Integrasi Sensori F&N ialah tenaga pengajarnya.  “Dengan kerjasama pakar terapi profesional, F&N menyediakan latihan lebih lengkap kepada para guru yang menguruskan pusat ini.”

Pembukaan Bilik Integrasi Sensori F&N yang ketiga telah dirasmikan oleh Y.A.M Tengku Syed Badarudin Jamalullail, Pengerusi Fraser & Neave Holdings Bhd. dan Tuan Haji Mahmud bin Karim, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Selangor.

MENGENAI F&N BEVERAGES MARKETING SDN BHD
F&N Beverages Marketing Sdn Bhd dan F&N Beverages Manufacturing Sdn Bhd (secara kolektif F&N Beverages) membentuk bahagian minuman ringan Fraser & Neave Holdings Bhd.  F&N Beverages adalah pengedar dan pengeluar minuman ringan terbesar di Malaysia dan mempunyai tenaga kerja kira-kira 1,400 kakitangan yang ditempatkan di 23 pejabat di seluruh negara.  Syarikat ini mengendalikan empat kilang pengeluaran di seluruh negara, termasuk kemudahan pengeluaran moden lagi canggih di ibu pejabatnya di Shah Alam, Selangor.  F&N Beverages mengedarkan produk F&N yang merangkumi 100PLUS, F&N Fun Flavours, SEASONS, Fruit Tree, Air Mineral Ice Mountain dan Kordial F&N.  Syarikat ini juga mengedarkan produk Red Bull di Malaysia.  Untuk maklumat selanjutnya, sila ke laman web www.fnbm.com.my


«  Back