F&N Beverages Bawa Kanak-Kanak Miskin Beli-Belah Sempena Deepavali
Posted on 12 October 2011
 
 

Sambil mendakap erat beg sekolah baru berwarna biru, Nanthini Sugumar, 12 tahun, berasa amat gembira dan tersenyum lebar tanda penuh kesyukuran. Tahun ini, Nanthini serta 19 rakan-rakan lain dari Vivekananda Ashram akan menyambut perayaan Deepavali dengan lebih ceria setelah diberi peluang oleh F&N Beverages Marketing Sdn Bhd untuk membeli-belah dan menonton wayang.

“Saya tidak sabar untuk menggunakan beg baru saya untuk ke sekolah, lebih-lebih lagi warnanya memang warna kegemaran saya!” kata Nanthini yang juga mendapat beberapa helai kemeja dan kotak pensel.

Seramai 20 kanak-kanak itu yang kesemuanya dari keluarga berpendapatan rendah, memang menanti-nantikan hari tersebut kerana ramai daripada mereka jarang mendapat peluang untuk keluar membeli-belah apatah lagi menonton filem 3D.

Mereka dibawa menonton filem terbaru Smurfs dalam versi 3D selepas menghabiskan masa sepanjang pagi dengan membeli-belah di Metrojaya, Mid Valley Megamall. Sebanyak RM200 peruntukan bagi setiap seorang disediakan oleh F&N Beverages, mereka juga diberi layanan istimewa kerana seluruh gedung Metrojaya dikhaskan untuk mereka dari jam sembilan pagi. Dengan bantuan kakitangan F&N Beverages dan Metrojaya, mereka meninjau terutamanya di bahagian pakaian, kasut, mainan dan alat tulis untuk memilih barangan yang mereka hajati sempena menyambut perayaan Deepavali.

  

“Sudah lama betul kami tak dapat baju baru untuk Deepavali. Tahun ini saya dapat apa yang saya inginkan, sepasang seluar jeans, kasut, kemeja dan juga bekas minuman untuk ke sekolah,” kata pelajar SJK (T) Vivekananda; Divakar Manivanan.

“Ada ramai ‘makcik’ yang membantu kami. Seronok membeli-belah dengan mereka. Ia mengingatkan saya kepada zaman saya keluar membeli-belah dengan ibu saya,” kata Aruna Jayankondan, yang membeli baju baru untuk Deepavali.

Kumpulan kanak-kanak ini dibawa melihat seluruh gedung Metrojaya dan diberitahu tentang tawaran istimewa dan potongan harga yang terdapat di situ. Walaupun mereka diberi kebebasan untuk membelanjakan wang mereka mengikut kemahuan masing-masing, ramai yang tidak membeli mainan, sebaliknya memilih pakaian dan alat keperluan sekolah.

Untuk berkongsi kegembiraan dengan keluarga, ada juga yang membelikan hadiah untuk mereka yang tersayang di rumah.

Menurut Pengurus Hal-Ehwal Korporat F&N Beverages, Puan Cariessa Goh, program Deepavali ini adalah antara pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun untuk menceriakan golongan yang kurang bernasib baik, terutama sekali pada musim perayaan.

“Memandangkan perayaan Deepavali akan tiba tidak lama lagi, inilah cara yang sebaik-baiknya untuk menceriakan kehidupan insan lain, terutama sekali kanak-kanak yang kurang bernasib baik, menjelang pesta cahaya,” tambahnya.

Goh turut sama mengiringi mereka. Selepas membeli-belah, beliau membawa mereka menyaksikan filem The Smurfs. Bagi kebanyakannya, itu adalah pengalaman pertama mereka menonton filem 3D. Cermin mata 3D menghidupkan babak-babak filem dan mencetuskan derai ketawa yang berpanjangan.

“Saya suka Papa Smurf!” kata Pavidtheren Danaraja, yang meminati watak itu kerana kasih sayang dan keberaniannya menguruskan keluarga seramai lebih 100 anggota. Sarvin Kumar Anandan pula tertarik dengan Clumsy Smurf. “Memang dia paling bendul dan kelakar, tetapi akhirnya dia jadi hero!” katanya.

Selepas menonton filem, kanak-kanak itu menikmati makan tengah hari yang disediakan khas sebelum dihantar pulang.

“Program ini memberi kami peluang untuk mengenali kanak-kanak ini dan paling penting sekali, memberikan bukan sahaja bantuan kebendaan tetapi memberikan sentuhan peribadai sebagai cara kami mendekati mereka. Senyuman yang terukir di wajah mereka sewaktu dihantar pulang benar-benar menyentuh hati kami dan mendorong kami untuk meneruskan usaha seperti ini,” kata Goh.

Menurut Guru Besar SJK (T) Vivekananda, Puan N. Malar, kanak-kanak itu adalah antara pelajar di sekolahnya yang paling memerlukan. Beliau menghargai usaha F&N Beverages dan mengucapkan terima kasih kerana membawa keceriaan kepada 20 kanak-kanak ini kerana kebanyakan mereka jarang mendapat peluang untuk keluar berjalan seperti itu.

“Pengalaman itu sangat menyeronokkan bagi kebanyakan mereka, apatah lagi menonton filem 3D. Budi baik F&N Beverages ini sangat dihargai, lebih-lebih lagi menjelang Deepavali,” tambahnya.



«  Back