Rekod Baru Juara Muda Kitar Semula
Posted on 11 September 2015
 
 

72 sekolah catat kutipan 96,576kg bahan kitar semula melalui Kempen Kitar Semula F&N Beverages & MBPP 2015

Pulau Pinang – Bak kata pepatah ‘yang baik dijadikan amalan’, masyarakat seharusnya menjadikan mengitar semula sebagai rutin harian mereka dalam memastikan prinsip 4R iaitu; Kurangkan (Reduce), Guna Semula (Reuse), Kitar Semula (Recycle), Fikir Semula (Rethink), akan berterusan momentumnya dan menjadi satu budaya. 
 
Bagi mencerminkan falsafah yang sama, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd telah menganjurkan kempen kitar semula di peringkat sekolah yang telah mempamerkan kejayaan membanggakan, dengan jumlah kutipan yang kian meningkat saban tahun. Terkini, hasil kutipan yang diperolehi ialah 96,576kg, mengatasi rekod pada tahun lepas.  
 
Kempen Kitar Semula F&N Beverages & MBPP 2015 peringkat negeri ini dianjurkan bersama  Majlis Bandaraya Pulau Pinang, menerima penyertaan sebanyak 72 sekolah yang masing-masing giat berusaha untuk mencatat rekod baru bagi kempen tersebut yang kini memasuki tahun keempat. 
 
Seperti yang dipetik dalam majlis penyampaian hadiah bagi penutup kempen tersebut, Puan Cariessa Goh, Pengurus Perhubungan Korporat F&N Beverages memuji usaha gigih para pelajar, guru, dan ibu bapa dalam mempromosikan budaya mengitar semula. 

 
   
 
“Walaupun karakter seorang anak seringkali dibentuk dengan pengaruh dari rumah, namun kita tidak boleh menyangkal dalam proses tumbesaran, terdapat kumpulan lain seperti guru-guru dan rakan sebaya yang turut memainkan peranan penting  dalam kehidupan mereka. Program kami membolehkan penglibatan kesemua pihak tersebut, yang kami rasakan sebagai pendekatan terbaik dalam memupuk minat terhadap kitar semula dan nilai cintakan alam sekitar di kalangan anak-anak ini. 
 
Seterusnya, apabila minat kepada amalan kitar semula sudah sebati dengan anak-anak ini, ia akan terbawa-bawa sehingga mereka menginjak usia dewasa. Mereka adalah pemimpin masa hadapan yang mewarisi bumi ini. Maka anak-anak inilah sebenarnya tentera kecil kita dalam mencapai misi pemeliharaan ini dalam mencapai persekitaran yang hijau dan sihat. Mereka adalah harapan kita untuk kesinambungan budya mengitar semula sehingga ke generasi akan datang!” tambahnya lagi.  
 
Melalui sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) dan Tetra Pak (Malaysia) Sdn Bhd, kempen ini telah menarik penyertaan sebanyak 11 buah pra-sekolah, 33 sekolah rendah dan 28 sekolah mennegah. Hadiah berbentuk wang tunai diberikan kepada sekolah yang mengumpul catatan tertinggi bahan kitar semula bagi setiap murid di sekolah terbabit. 
 
Kempen selama tiga bulan yang berakhir pada 14 Ogos 2015 memerlukan sekolah untuk mengumpul bahan kitar semula seperti tin aluminium, botol plastik, kertas, alat elektronik, dan pek TetraPak. Tiga anugerah khas juga disediakan bagi sekolah-sekolah mengikut kategori masing-masing. Terdapat juga ganjaran khas bagi sekolah yang mengumpul bahan TetraPak yang tertinggi. 
 
Kategori Pra-sekolah diterajui oleh Pra-Sekolah An-Nur SK Batu Feringghi dengan catatan 28.54kg bahan kitar semula bagi setiap murid. Tadika Hu Yew Seah kekal di tangga kedua diikuti oleh Pra-Sekolah SK Bayan Lepas, dengan catatan bahan kitar semula terkumpul, masing-masing sebanyak 22.69kg dan 17.14kg.  
 
SJK (C) Sum Min merampas kejuaraan bagi kategori Sekolah Rendah daripada SK Perempuan Island Tahun ini. Juara baru ini mencatat angka yang begitu membanggakan, iaitu sebanyak 82.91kg bahan kitar semula setiap murid, berbanding catatan Tahun lepas sebanyak 39.83kg.  Tempat kedua jatuh SJK (C) Eng Chuan, dengan catatan sebanyak 60.82kg. Manakala naib johan tahun lepas jatuh ke tempat ketiga, dengan peningkatan kepada  49.89kg setiap murid berbanding 38.18kg yang direkodkan oleh mereka pada 2014.  
 
Bagi kategori Sekolah Menengah, SMK Padang Polo kekal menjuarai pertandingan ini. Manakala SMK Agama (Lelaki) Al-Mashoor dan SMJK Sacred Heart masing-masing merampas tangga kedua dan ketiga daripada  SMK Pendidikan Khas Persekutuan (P) dan SMK Tanjong Bunga. 

 
   

 
“Misi hijau kami tidak berakhir di sini. Melalui sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan TetraPak Malaysia, kami mengorak langkah dalam nilai-nilai kitar semula yang mampan dan mesra alam di kalangan generasi muda.  Tahun ini, kita dapat melihat peningkatan sebanyak 9 peratus dalam jumlah keseluruhan bahan kitar semula terkumpul, dan ia pasti satu lagi rekod baru dalam penganjuran kempen ini. Kami sangat berbangga dan ingin menyatakan penghargaan kami kepada semua pihak yang terlibat dalam memberi kerjasama dan sokongan padu,” tambah beliau. 
 
Kempen tahun ini juga menyaksikan penambahan ganjaran yang ditawarkan berbanding tahun lepas , iaitu sebanyak 13 peratus, atau jumlah keseluruhan RM20, 460.
 
Turut hadir dalam majlis penyampaian hadiah Kempen Kitar Semula tersebut ialah Yang Berbahagia Datuk Patahiyah Ismail, Datuk Bandar Pulau Pinang, Encik Mohd Faisol Abu Bakar daripada JPNPP, Cik Manjula Murugesan, Pengurus Alam Sekitar, Tetra Pak Malaysia, Ahli Exco Negeri, para pegawai MBPP, wakil Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang, serta para guru dan pelajar-pelajar. 
 


«  Back