ASPIRASI F&N BEVERAGES KE ARAH MALAYSIA HIJAU DAN BERSIH DENGAN KEMPEN KITAR SEMULA PERINGKAT SEKOLAH
Posted on 11 March 2015
 

Hadiah yang lebih lumayan menanti sekolah-sekolah di sekitar Shah Alam yang mengambil bahagian dalam edisi kesembilan  ‘Kempen Kitar Semula’,  anjuran bersama F&N Beverages dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Pertandingan di peringkat sekolah ini mensasarkan objektif untuk menyebarkan mesej pemeliharaan alam sekitar melalui prinsip 4R; Kurangkan (Reduce), Gunakan Semula (Reuse), Kitar Semula (Recycle), dan Fikir Semula (Rethink). 

Kempen selama lima bulan yang disokong oleh Jabatan Pelajaran Negeri Selangor akan dijalankan mulai 1 April sehingga 31 Ogos 2015, dengan penyertaan daripada sekolah rendah, dan menengah serta tadika di bawah kawasan tadbiran MBSA. Kempen yang dinanti-nantikan ini mencabar peserta untuk mengumpul jumlah tertinggi bahan kitar semula seperti aluminium, plastik, dan kertas bagi ganjaran yang disediakan.

Cariessa Goh, Pengurus Perhubungan Korporat F&N Beverages Marketing Sdn Bhd ketika ditemui di majlis pelancaran tersebut, mengumumkan ganjaran lebih besar yang ditawarkan pada tahun ini kepada bakal pemenang, iaitu berjumlah RM23,200.00.

“Kempen ini bukanlah semata-mata satu perlumbaan untuk menang atau sekolah mana yang menjadi juara, namun apa yang lebih penting adalah harapan kami untuk menanamkan kecintaan terhadap alam sekitar yang bersih, cantik, dan sihat di kalangan pelajar, serta memupuk kesedaran berkaitan pemeliharaan alam sekitar pada usia yang muda.

Anak-anak merupakan pengaruh yang besar dalam masyarakat kini, dan sering kita lihat mereka berjaya membuat lebih ramai tersentuh, berbanding dengan golongan dewasa. Oleh itu, kekuatan mereka tidak harus sekali-kali diperkecil dalam memacu mesej kitar semula ini ke serata negara. Pendidikan adalah senjata utama dalam mengekang sikap acuh tidak acuh masyarakat mengenai kitar semula, dan anak-anak ini pula adalah tentera Alam Semulajadi yang berjuang menyebarkan budaya sihat ini,” tambahnya lagi.

Selepas lapan tahun diadakan, kempen ini berjaya dalam mendidik anak-anak, serta guru dan ibu bapa dalam menyemai prinsip  4R dan membuat pilihan yang lebih ‘hijau’ dalam kehidupan seharian mereka. Sehingga kini, kemppen tersebut telah berjaya mencatatkan lebih 800,000kg bahan kitar semula yang terkumpul.

 
   

Pada tahun ini, sekolah rendah dan menengah bakal membawa pulang hadiah utama  sebanyak RM2,000 bagi jumlah purata tertinggi bahan kitar semula yang dikumpul di akhir pertandingan. Hadiah kedua ialah sebanyak RM1,700, dan RM1,500 bagi tempat ketiga. Manakala  setiap pemenang tempat keempat dan kelima akan memenangi RM1,200 dan RM1,000 bagi usaha mereka. Hadiah saguhati bagi pemenang keenam dan ketujuh pula adalah sebanyak RM400.  

Bagi peringkat tadika, RM500 menanti juara, manakala pemenang kedua dan ketiga akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM400 dan RM300. Hadiah saguhati bagi lima buah sekolah tadika adalah berjumlah  RM100 setiap satu. 

Tiga anugerah khas juga menanti bagi sekolah yang mengumpul bahan aluminium, plastik, dan TetraPak tertinggi. Pemenang daripada sekolah rendah dan menengah  akan membawa pulang RM700, manakala RM300 ditawarkan bagi sekolah tadika bagi setiap satu kategori anugerah khas.

Tahun lepas, SMK Bukit Jelutong bersinar dengan menyapu bersih tiga anugerah, iaitu purata tertinggi bahan kitar semula tekumpul, bersama anugerah khas kutipan plastik tertinggi dan bahan TetraPak. SK HICOM pula telahpertama kali muncul juara bagi kategori sekolah rendah, manakala juara sekolah tadika dirangkul oleh Tadika Seri Kurnia.

Kempen bagi tahun 2015 ini telah dirasmikan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Bandar Shah Alam, Dato' Ahmad Zaharin Bin Mohd Saad. Tirai kempen ini pula bakal berlabuh dengan satu majlis penyampaian hadiah yang dijadualkan dalam bulan September.

“Kami yakin bahawa kempen ini dapat menerapkan kesedaran berkenaan kepentingan pemeliharaan alam sekitar di kalangan pelajar, dan mereka bakal terus memandu prinsip 4R dengan lebih meluas dan jauh lagi. Melalui sokongan berterusan daripada rakan kempen iaitu MBSA, Jabatan Pelajaran Negeri Selangor, dan Tetra Pak Malaysia, kami komited untuk memikul misi ini dengan aspirasi ke arah Malaysia yang lebih bersih dan hijau,” menurut Cariessa.


«  Back