F&N Beverages Kuching Menangi Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri
Posted on 29 December 2014
 
Ketua Pengeluaran Nasional, Lee Joon Hin, menerima anugerah daripada Ketua Menteri Sarawak



Kuching, Sarawak – Kilang F&N Beverages di Kuching telah muncul sebagai pemenang Kategori Industri Sederhana – Pengeluaran dalam Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri (CMEA) tahun ini.  F&N Beverages Kuching berentap dengan 31 lagi syarikat dalam kategori tersebut.

Anugerah yang diadakan dua tahun sekali itu telah menarik 73 penyertaan daripada pelbagai syarikat dan organisasi tahun ini , dan pencalonan dibahagikan kepada empat kategori – Perusahaan Besar, Industri Sederhana, Industri Kecil, dan Kerajaan Tempatan. Ia merupakan pengiktirafan kepada organisasi yang telah menunjukkan komitmen dalam penjagaan alam sekitar dan inisiatif hijau yang mampan dalam operasi harian mereka.

Faktor utama yang mendorong kemenangan F&N Beverages Kuching dalah Loji Rawatan Air Buangan yang merawat sisa air daripada industri, sebelum ia dilepaskan keluar ke saliran awam. Selain itu, kilang tersebut turut mempunyai persijilan penuh ISO 14001, serta mematuhi Akta Kualiti Alam Persekitaran 1974 dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994. Kombinasi faktor-faktor ini juga melayakkan F&N Beverages Kuching  sebagai salah satu pengeluar mesra alam untuk memenangi anugerah tersebut.

Kilang di Kuching tersebut dibina pada tahun 1965 dan merupakan kilang F&N Beverages yang pertama di Malaysia Timur. Dengan 165 orang pekerja, ia berupaya menghasilkan 7.0 juta karton minuman setahun pada kapasiti maksimanya. Walaupun mensasarkan kadar produktiviti yang tinggi, F&N Beverages tidak pernah mengabaikan faktor pemeliharaan alam sekitar. 

F&N Beverages, yang diwakili oleh Ketua Pengeluaran Nasional, En. Lee Joon Hin, menerima anugerah tersebut daripada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang menyempurnakan majlis penyampaian anugerah tersebut pada 15 Disember 2014, di sebuah hotel terkemuka di Kuching.

Lee Joon Hin, Ketua Pengeluaran Nasional, F&N Beverages berkata, “Usaha-usaha seperti penjimatan dalam penggunaan air dan tenaga, serta usaha mengitar semula secara berterusan bukan sahaja dilakukan untuk menjaga alam sekitar, tetapi ia sebenarnya akan menyumbang semula kepada pengurangan kos operasi dan beban kerja; dan seterusnya menjana produktiviti yang cemerlang. Anugerah ini sememangnya satu pengiktirafan bagi usaha tanpa henti kami dalam menyeimbangkan kepentingan alam sekitar dalam mencapai aspirasi kami untuk menjadi pemain utama industri minuman di Malaysia dan juga Asia Tenggara”.

Antara industri yang bertanding untuk anugerah ini adalah pembuatan, telekomunikasi, bekalan elektrik, pelupusan sisa, bekalan air, perkhidmatan penghantaran dan pengangkutan, pembinaan, perladangan, pembalakan, perlombongan dan kuari, minyak dan gas, hotel (3-bintang dan ke atas), padang golf, restoran, stesen minyak / petrol, perkhidmatan kitar semula, bandar dan majlis-majlis perbandaran dan majlis daerah.


«  Back