Anak Yatim Berbakti kepada Alam Semula Jadi
Posted on 28 October 2014
 


Warga Yayasan Ilham Pinggir TTDI menyumbang kepada
Pusat Perlindungan Gajah Kuala Gandah menerusi program Bina Semangat F&N Beverages

 

LANCHANG, PAHANG – Bagi Gajah Asia yang tidak beribubapa di Pusat Perlindungan Gajah Kuala Gandah, peluang untuk kembali kepada kehidupan liar adalah sangat berharga. Disatukan oleh semangat untuk berbakti kepada alam semula jadi, seramai 39 anak yatim dari Yayasan Ilham Pinggir TTDI mengumpul sejumlah RM4,000 untuk mendekatkan lagi haiwan gergasi yang lemah lembut ini kepada kebebasan dalam persekitaran semula jadinya.

Program bina semangat yang dianjurkan di pusat perlindungan gajah oleh F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd. untuk penghuni rumah perlindungan budak lelaki Yayasan Ilham Pinggir TTDI membolehkan kanak-kanak berumur antara 9 hingga 17 tahun itu bekerjasama dalam beberapa pasukan dan melaksanakan pelbagai cabaran yang bertujuan untuk memupuk semangat setia kawan. Ganjaran tunai diberikan bagi setiap tugas yang disempurnakan, dan “pendapatan” mereka didermakan semula kepada gajah.

“Program ini sangat bermakna bukan sahaja bagi F&N tetapi lebih penting lagi bagi kanak-kanak yang terlibat. Sama seperti inisiatif bina semangat kami pada masa lepas, kami berhasrat untuk memperkasakan anak-anak ini agar mereka dapat melangkaui batas keupayaan mereka dan mencapai sepenuhnya potensi dalam diri masing-masing. Walaupun tidak banyak yang boleh diberikan, mereka masih tetap boleh membawa perubahan besar ke dalam masyarakat. Inilah yang kami cuba semaikan dalam diri mereka,”kata Cariessa Goh, Pengurus Hal Ehwal Korporat, F&N Beverages.

Menerusi aktiviti yang disusun, kanak-kanak bukan sahaja belajar tentang usaha memulihara dan melindungi haiwan yang terancam tetapi juga menyahut cabaran untuk membantu usaha murni – iaitu pemeliharaan dan perlindungan habitat gajah untuk jangka panjang.

“Kanak-kanak ini tahu pentingnya mempunyai tempat yang dianggap sebagai rumah dan mereka mahu memberikan peluang yang sama kepada gajah-gajah itu menerusi sumbangan mereka. Ini adalah juga peluang untuk mereka belajar tentang pemeliharaan binatang yang terancam seperti Gajah Asia dan paling penting sekali, belajar untuk memberi dan semangat berpasukan,” tambahnya.
 
 

Program bermula dengan aktiviti ‘Menjejaki Denai Gajah’ yang membawa mereka ke dalam hutan Kuala Gandah. Sepanjang laluan ini, mereka diperkenalkan kepada pelbagai spesies tumbuhan, sesetengahnya menjadi makanan kegemaran gajah. Mereka seronok dan kagum apabila ternampak kelibat haiwan besar ini semasa menyusuri hutan.

Mereka kemudiannya menyertai siri permainan yang membabitkan pelbagai aspek kerjasama dan semangat berpasukan. Di setiap stesen permainan, peserta mendapat markah apabila berjaya menyelesaikan teka-teki berpandukan klu yang diberikan. Pada akhir permainan, markah setiap kumpulan dijumlahkan dan kemudian ditukar kepada wang tunai yang kemudian disumbangkan untuk membantu usaha pemulihan dan pemindahan semula gajah. Setiap kumpulan dengan bangganya menyampaikan sumbangan mereka kepada Encik Rostam Yusof, wakil Pusat Pemuliharaan di Pusat Perlidungan itu. Sejumlah RM4,000 berjaya dikumpul dan didermakan pada hari itu.

Selepas bekerja keras sepanjang pagi, kanak-kanak ini menikmati makanan tengah hari yang disediakan oleh F&N Beverages dan berpeluang menghabiskan masa meninjau kawasan persekitaran Pusat Perlindungan.

Akhir sekali, mereka mendapat peluang untuk memandikan gajah. Kesempatan untuk mandi di sungai bersama gajah adalah satu pengalaman yang pasti sukar dilupakan. Suasana itu dipenuhi derai ketawa, apabila sang gajah menyedut air sungai dengan belalai dan kemudian menyembur mereka yang berada di belakang sehingga basah kuyup.
“Bukan mudah untuk bekerja dalam satu pasukan kerana masing-masing berlainan pandangan dan perwatakan, tetapi dengan kerjasama antara satu sama lain, kanak-kanak ini menyedari bahawa banyak yang boleh dicapai. Kami bangga dengan kegigihan kanak-kanak ini dan kami harap pengalaman bermain dengan gajah ini akan menjadi kenangan manis bagi mereka,” kata Cariessa.

F&N Beverages telah menjadikan Yayasan Ilham Pinggir TTDI sebagai salah satu organisasi yang mendapat manfaat daripada program tanggungjawab sosial korporatnya sejak tahun 2008 . Ini termasuk Sudut Iqra; satu inisiatif untuk menggalakkan tabiat membawa di kalangan kanak-kanak dengan menubuhkan perpustakaan dan menyediakan buku untuk beberapa sekolah di kawasan luar bandar.

Baru-baru ini Syarikat juga menganjurkan program bina semangat untuk 28 anak yatim dari Rumah Kebajikan Anbu Illam dan Shelter Home 3. Program tersebut dianjurkan di Muzium Angkatan Tentera di Port Dickson  bagi memupuk semangat patriotik melalui aktiviti yang menyeronokkan sempena sambutan Hari Merdeka.


«  Back