Juara Muda Kitar Semula Capai Kejayaan Besar
Posted on 20 October 2014
 


36 sekolah kumpul lebih 80,000kg bahan kitar semula dalam Kempen Kitar Semula F&N Beverages & MBSA 2014
 

Shah Alam – Membuktikan kebenaran perumpamaan ‘kecil-kecil cili padi’, pelajar daripada 36 sekolah di sekitar bandar raya ini mengorak langkah besar dalam usaha kitar semula dengan mengutip dan mengumpul 80, 276.6kg bahan kitar semula dalam Kempen Kitar Semula yang dianjurkan oleh F&N Beverages Marketing Sdn Bhd dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Kempen tiga bulan yang berakhir pada Julai lalu telah disertai 7 tadika, 14 sekolah rendah dan 15 sekolah menengah.  Setiap sekolah mensasarkan gelaran juara dan ganjaran hadiah yang ditawarkan untuk pemenang yang mendapat jumlah purata tertinggi kutipan bahan kitar semula bagi setiap pelajar di setiap sekolah.

Dengan sokongan Pejabat Pendidikan Negeri Selangor dan Tetra Pak (Malaysia) Sdn Bhd, kempen ini mencabar sekolah turut serta untuk mengutip bahan seperti tin aluminium, botol plastik, kertas dan juga kotak Tetra Pak.  Dua Anugerah Khas juga diberikan kepada mana-mana sekolahyang mengumpul paling banyak tin aluminium dan barangan plastik yang boleh dikitar semula.  Anugerah khas juga ditawarkan untuk semua kategori bagi kutipan paling tinggi kotak Tetra Pak.

SMK Bukit Jelutong mendahului perlumbaan untuk merebut gelaran juara bagi kategori sekolah menengah untuk kali kedua, dengan kelebihan besar mengatasi sekolah lain yang menyertai pertandingan. Sekolah itu juga membawa pulang dua Anugerah Khas bagi jumlah plastik tertinggi yang dikumpul antara sekolah-sekolah, dan juga kotak Tetra Pak paling tinggi yang dikumpulkan dalam kategori sekolah menengah. Tempat kedua dimenangi oleh SMK Seksyen 7 yang turut memenangi Anugerah Khas bagi aluminum tertinggi, dan tempat ketiga jatuh kepada SMK Seksyen 19.

Bagi kategori sekolah rendah, pemenang kali pertama SK HICOM merampas mahkota kejuaraan daripada SK TTDI Jaya yang jatuh ke tempat kedua selepas lima kali berturut-turut memenangi pertandingan pada tahun-tahun lepas. Tempat ketiga pula dimenangi oleh SK Seksyen 17.

Tadika Seri Kurnia menjuarai kategori tadika, manakala tempat kedua jatuh kepada Tadika Pintar Soleh dan tempat ketiga dimenangi oleh Pra Sekolah TUDM Subang.

 
  
 
Dalam ucapan di majlis penyampaian hadiah, Cariessa Goh, Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Beverages, memuji semua sekolah kerana usaha gigih mereka. Beliau juga menghargai peranan penting yang dimainkan oleh pelajar dan guru dalam kempen ini.

“Kata orang, kalau kita mahu mengubah dunia, kita perlu memberi inspirasi kepada anak-anak muda. Justeru, kami percaya bahawa pelajar adalah kuasa besar yang dapat memacu prinsip 4R: Reduce (kurangkan penggunaan), Reuse (guna semula), Recycle (kitar semula) dan Rethink (fikir semula), yang menjadi teras kempen ini. Setiap tahun, usaha sekolah turut serta yang boleh dicontohi memberi inspirasi kepada banyak institusi lain untuk menyertai pergerakan hijau ini, menyebarkan prinsip 4R bukan sahaja di kalangan pelajar dan guru tetapi juga dalam keluarga.

“Guru juga adalah antara sumber inspirasi. Dedikasi mereka untuk mendidik dan menyemaikan budaya kitar semula di kalangan pelajar membantu kejayaan kempen ini. Kami teruja apabila mendapat tahu bahawa beberapa sekolah telah memperuntukkan bilik khas untuk mengumpul bahan kitar semula dan menganjurkan program kitar smula sepanjang tahun persekolahan. Malah, peserta kami yang paling muda dari kategori tadika telah mula belajar tentang kitar semula daripada sesi pengajaran khas yang diberikan oleh guru mereka,” katanya.

Dalam usaha untuk meluaskan kempennya, F&N Beverages memperkenalkan kategori baru tahun ini, khusus untuk tadika di seluruh Shah Alam. Ini telah meningkatkan kesedaran tentang kitar semula di kalangan pelajar tadika dengan sokongan guru dan ibu bapa mereka. Pertandingan tahun ini juga menawarkan anugerah baru untuk pengumpulan paling banyak bahan Tetra Pak, sumbangan Tetra Pak Malaysia.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Tuan Mohtar bin Hani, hadir untuk menyampaikan hadiah bersama Puan Cariessa Goh dan Pengurus Alam Sekitar Tetra Pak Malaysia, Cik Manjula Murugesan kepada wakil sekolah pemenang.




 


«  Back