F&N BEVERAGES MARKETING CERIAKAN DEEPAVALI BAGI PENGHUNI RUMAH JAGAAN KANAK-KANAK SAYANG
Posted on 10 October 2014
 

 
Little India di Klang meriah dengan orang ramai yang berpusu-pusu ke tempat popular tersebut untuk merebut tawaran istimewa di kedai-kedai tekstil dan kedai barang kemas. Kanak-kanak berduyun-duyun mengekori ibu bapa dari satu kedai ke satu kedai mencari pakaian baru untuk perayaan Deepavali yang akan tiba beberapa hari lagi.

Sri Svwetha, 11 tahun, begitu terpukau apabila pertama kali dibawa untuk menikmati kemeriahan suasana di Jalan Tengku Kelana yang sibuk ini. Pakaian berwarna-warni, alunan muzik yang kuat dan keenakan bau manisan India yang membuka selera melekakan Sri Svwetha dan 11 kanak-kanak lain dari Rumah Jagaan Kanak-Kanak Sayang yang dibawa keluar untuk membeli-belah oleh F&N Beverages Marketing Sdn Bhd.

Mereka diberi layanan istimewa di Ajuntha Textiles apabila pintu gedung dua tingkat itu dibuka lebih awal untuk memberi peluang eksklusif kepada mereka memilih pakaian masing-masing. Setiap kanak-kanak diberi peruntukan RM200 untuk dibelanjakan bagi membeli pakaian baru untuk Deepavali dengan sedikit bantuan daripada ‘makcik’ dan ‘pakcik’ daripada F&N Beverages Marketing.
 
   

Saat ini memang dinanti-nantikan mereka yang kebanyakannya terabai dan datang daripada keluarga kurang bernasib baik, memandangkan  ada di antara mereka tidak pernah mendapat peluang untuk keluar membeli-belah apatah lagi diberi kesempatan untuk memilih pakaian sendiri.

“Deepavali adalah masa untuk keluarga berkumpul untuk membuat persediaan bagi menyambut perayaan. Ramai kanak-kanak dari Rumah Jagaan Kanak-Kanak Sayang tidak berpeluang untuk menikmatinya bersama keluarga mereka sendiri tetapi ini tidak bermakna mereka tidak berpeluang langsung. Kami berusaha untuk menceriakan perayaan Deepavali mereka menerusi program ini dan kami mahu mereka tahu bahawa F&N juga prihatin dengan nasib mereka,” kata Cariessa Goh, Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Beverages Marketing.    

Edisi keempat Program Membeli-Belah Deepavali F&N Beverages bermula dengan sarapan ringan sebelum kanak-kanak itu menelusuri seluruh gedung untuk mencari pakaian tradsional dengan corak dan warna kegemaran masing-masing.   

Karthienie Barani, 13 tahun, tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya apabila tiba di gedung tekstil beraneka warna itu. “Saya betul-betul tidak sabar menantikan peluang untuk membeli-belah ini. Saya seronok sangat sampaikan saya tidak boleh tidur sejak beberapa hari lepas. Dengan begitu banyak pilihan corak dan gaya, susah untuk saya buat pilihan!” katanya.

Pengarah Rumah Jagaan Kanak-Kanak Sayang Puan Muthuletchumi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada F&N Beverages kerana membawa kegembiraan dan memberikan sesuatu yang menceriakan perayaan Deepavali mereka.

Kharthigasan, penjaga rumah kebajikan itu, berkata bahawa kanak-kanak di bawah jagaannya teruja bila diberitahu mereka boleh memilih pakaian baru mereka sendiri untuk sambutan Deepavali. “Disebabkan kesulitan hidup keluarga, ada antara anak-anak ini yang tidak pernah menikmati keceriaan musim perayaan. Ini menjadikan pengalaman membeli-belah ini lebih istimewa,”katanya.

Menurut Kharthigasan lagi, kanak-kanak ini berpimpin tangan dengan pengiring mereka sepanjang masa dan meminta mereka membantu memilihkan pakaian dan hadiah yang mereka inginkan. “Hati sesiapa sahaja akan tersentuh melihat kegembiraan kanak-kanak ini – mereka melupakan keperitanmasa lampau dengan harapan masa depan akan lebih cerah,” tambahnya.

Sebelum pulang dengan membawa beg berisi pakaian dan hadiah pilihan masing-masing, mereka menikmati sajian ‘vegetarian’yang lazat untuk makan tengah hari.

“Kami harap kanak-kanak ini ceria keluar bersama kami sebagaimana  kami berasa gembira dapat mengenali mereka. Kami gembira melihat senyuman di wajah mereka kerana kami sedikit sebanyak telah dapat menyentuh hidup mereka dan menaikkan semangat mereka untuk menyambut Deepavali,” kata Cariessa.

Diasaskan pada 2007, Rumah Jagaan Kanak-Kanak Sayangmemberi perlindungan kepada kanak-kanak terabai dan dari keluarga yang kurang bernasib baik. Ia menjaga kebajikan dan pendidikan mereka hingga ke tahap SPM di samping menyediakan persekitaran yang sihat untuk merangsang pertumbuhan positif. Rumah ini juga memberi bantuan kepada penghuni lebih tua untuk mendapatkan pekerjaan selepas tamat persekolahan.
 


«  Back