Kepimpinan Melalui Teladan
Posted on 10 September 2014
 

94 sekolah di Pulau Pinang kutip 88,456kg bahan kitar semula dalam
Kempen Kitar Semula F&N Beverages & MPPP 2014


Pulau Pinang – Sembilan puluh empat sekolah mengetuai aktiviti kitar semula di seluruh negeri ini dengan mengutip 88,456 kg bahan kitar semula sepanjang Kempen Kitar Semula F&N yang dianjurkan oleh F&N Beverages Marketing Sdn Bhd bersama Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

“Ada kalanya, individu paling berpengaruh bagi kanak-kanak bukan orang dewasa tetapi rakan sebaya mereka sendiri. Dalam beberapa tahun yang lepas, golongan ini telah menjadi inspirasi kepada yang lain, menggalakkan lebih banyak sekolah untuk menyertai kempen dan menghidupkan budaya kitar semula di dalam dan luar persekitaran sekolah mereka.

“Sungguhpun kami tidak dapat memberi ganjaran kepada semua sekolah, namun ganjaran yang lebih besar adalah dengan mengetahui bahawa usaha mereka telah sedikit-sebanyak menyentuh kehidupan orang lain. Kami berharap usaha mereka ini akan berterusan dalam memberi inspirasi kepada orang ramai untuk menghijaukan Malaysia, dan mencetuskan gelombang yang berterusan.  Kami benar-benar percaya bahawa golongan pelajar boleh menjadi daya penggerak 4R, iaitu Reduce (kurangkan), Reuse (guna semula), Recycle (kitar semula) dan Rethink (fikir semula),” kata Cariessa Goh, Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Beverages Marketing Sdn Bhd di majlis penyampaian hadiah tersebut.

Dengan sokongan Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang (JPNPP) dan buat pertama kalinya, Tetra Pak (Malaysia) Sdn Bhd, kempen ini menarik penyertaan sebanyak 17 tadika, 46 sekolah rendah dan 31 sekolah menengah. Sekolah yang menang diberikan ganjaran wang tunai, dan dipilih berdasarkan jumlah purata tertinggi kutipan bahan kitar semula bagi setiap pelajar di sekolah tersebut.  

Kempen selama tiga bulan yang berakhir pada bulan lepas, menetapkan sekolah yang menyertai untuk mengutip bahan kitar semula seperti tin aluminium, botol plastik, kertas, bahan buangan elektronik dan juga kotak Tetra Pak. Tiga Anugerah Khas diberi kepada mana-mana sekolah yang mencatat kutipan aluminium, plastik dan bahan buangan elektronik tertinggi. Anugerah khas juga ditawarkan bagi kutipan kotak Tetra Pak paling tinggi.

Pendatang baru dan juara kategori prasekolah ialah pelajar SK Jalan Hamilton yang mengutip bahan kitar semula lebih berat daripada badan mereka.  Sekolah ini mengutip 46.2kg setiap pelajar. Manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing jatuh kepada Hu Yew Seah Kindergarten dan Pra Sekolah SK Perempuan Island.

SK Perempuan Island mendahului kategori sekolah rendah dengan menduduki tempat teratas berbanding tempat ketiga dalam pertandingan tahun lepas. Sekolah perempuan ini mengutip 39.8kg setiap pelajar, meningkatkan kutipan mereka melebihi 250 peratus sejak 2013. Bekas juara, SJK (C) Hu Yew Seah, menyusuli mereka di tempat kedua manakala SJK (C) Eng Chuan menduduki tempat ketiga.

Sementara itu, SMK Padang Polo mendapat tempat pertama dalam kategori sekolah menengah, merampas kejuaraan daripada SMK Pendidikan Khas Persekutuan (P) yang jatuh ke tempat kedua manakala SMK Tanjong Bunga menduduki tempat ketiga.

Dalam ucapannya, Cariessa, menyentuh tentang kesedaran yang meningkat terhadap budaya sifar sampah; serta masa depan tanpa sampah, yang menjadikan tapak pelupusan sampah dan tabiat penggunaan tidak lestari bakal menjadi  sejarah silam. Sungguhpun ini nampak mustahil, beliau menegaskan bahawa amalan kitar semula adalah langkah pertama untuk mencapai masa depan sedemikian.
 


“Sebagai pemain utama dalam sektor makanan dan minuman, Kumpulan F&N mengakui kesan pelbagai aspek operasi kami ke atas alam sekitar. Dengan menumpukan usaha kami kepada budaya sifar sampah, kami menjadikannya satu keutamaan untuk memastikan kesan operasi kami ke atas alam sekitar dikurangkan ke tahap minimum menerusi usaha berterusan untuk mengurangkan bahan buangan dan penggunaan bahan mentah, menjimatkan penggunaan air dan mengurangkan penggunaan tenaga serta pengeluaran karbon.

“Misi hijau kami tidak berakhir di sini. Kami sedang membangun momentum menerusi Kempen Kitar Semula bersama MPPP, dengan sokongan JPNPP dan Tetra Pak Malaysia.  Pada tahun ini, kami menyaksikan kenaikan 20 peratus penyertaan dan kutipan bahan kitar semula melebihi 88,000kg, membolehkan kami mencatat rekod baru sekali lagi bagi kempen ini.  Sudah pasti kami sangat gembira dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakan kongsi kami di atas kerjasama dan sokongan mereka semua,” tambahnya.

Kempen tahun ini  memperkenalkan satu kategori baru khususnya bagi pelajar pra sekolah di seluruh negeri Pulau Pinang, sebagai usaha mendedahkan pelajar dari sekecil empat tahun kepada tabiat kitar semula. Satu lagi kategori baru diperkenalkan dalam kempen ini ialah hadiah yang ditawarkan oleh Tetra Pak Malaysia untuk kutipan bahan Tetra Pak paling tinggi.

Majlis penyampaian hadiah Kempen Kitar Semula turut dihadiri oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Mohamad Akhbar bin Mustafa, Timbalan Pengarah Korporat, MPPP, En. Hassan bin Din, Pemangku Penolong Ketua Pengarah, Sektor Pembangunan Manusia, JPNPP, Cik Manjula Murugesan, Pengurus Alam Sekitar, Tetra Pak Malaysia, Ahli-Ahli Exco Negeri, pegawai Majlis MPPP, pegawai JPNPP, guru dan pelajar sekolah.

 


«  Back