F&N Beverages Anjur Program Kepimpinan Bersama Asrama Yayasan Saad
Posted on 05 June 2014
 



Satu pengalaman yang meriangkan dan mengujakan dibawa oleh F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd.
kepada 24 anak-anak daripada  Asrama Yayasan Saad, Perlis, dalam satu program kepimpinan
dijalankan baru-baru ini.  

 

Anak-anak berusia 10 hingga 17 tahun itu kebanyakannya daripada keluarga yang kurang
berkemampuan, telah menjalani program dua hari tersebut, di mana ia bermatlamat untuk
menyemai semangat berpasukan, kebolehan merancang strategi, membina sahsiah diri
serta menanam keyakinan dalam diri mereka sebagai pemimpin yang berpotensi.  


Program tersebut dijalankan sempena bermulanya cuti sekolah pertengahan tahun, dan
dimulakan dengan aktiviti dinamakan ‘Anjakan Kepimpinan’. Segmen tersebut bertujuan
menyuntik kesedaran dalam diri mereka untuk mengenali nilai dan kelebihan masing-masing,
yang merupakan asas untuk menentukan kapasiti sebagai seorang pemimpin. 

Aktiviti lain turut dijalankan sepanjang program, seperti ‘Siapa Saya?’ yang bertujuan untuk
mengenali jati diri masing-masing, dan juga aktiviti simulasi ‘Light Up Your World’, di mana
ia disasarkan untuk mendidik mereka dengan kemahiran  pengurusan sumber, kerja
berpasukan, pemikiran strategik dalam situasi krisis, serta membuat keputusan, serta
kemahiran dalam mengubahsuai strategi dalam memastikan pasukan mereka berjaya.

 

Selain itu, aktiviti ‘Amazing Race’ di sekitar Kangar turut menambah keterujaan mereka,
di mana antara cabaran yang dilalui memerlukan mereka berinteraksi dengan pemilik-pemilik
kedai berdekatan bagi memberi lebih pemahaman berkenaan komuniti sekitar mereka.
Melalui aktiviti tersebut juga, mereka diberi kesedaran untuk memainkan peranan yang
lebih bertanggungjawab kepada komuniti serta sumbangan yang seharusnya diberi
dalam menjayakan hidup bermasyarakat.

 

  


Anak-anak tersebut juga menikmati makan malam barbeku, di mana mereka diberi peluang
menyediakan makan malam mereka sendiri. Ia merupakan pengalaman barbeku yang
pertama kali bagi kesemua anak-anak tersebut. Kesemua aktiviti yang dirancang dan
dijalankan dalam program tersebut merupakan hasil kerjasama F&N Beverages dengan
Leaderonomics, iaitu agensi latihan dan pembangunan yang terkenal.

 

Cariessa Goh, Pengurus Hal Ehwal Koporat F&N Beverages berkata, “Kami turut teruja
sebagaimana anak-anak yang menyertai program ini. Anak-anak Asrama Yayasan Saad
ini tidak lagi asing kepada kami memandangkan ia merupakan tahun kedua program
kepimpinan ini kami jalankan. Ia adalah sumbangan kecil kami namun dalam masa yang
sama adalah untuk mencapai matlamat Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kami
dalam menyediakan program pendidikan yang kondusif khususnya bagi yang
kurang berkemampuan”.


F&N Beverages telah sekian lama melibatkan Asrama Yayasan Saad sebagai salah
satu organisasi yang mendapat faedah daripada program CSR mereka, antaranya 
Sudut Iqra; iaitu satu inisiatif dalam memupuk minat membaca di kalangan anak-anak
dengan penyediaan perpustakaan dan juga buku-buku kepada beberapa
sekolah di kawasan luar bandar.





«  Back