F&N BEVERAGES & MBSA PERKASAKAN MINDA MUDA UNTUK MAIN PERANAN AKTIF DALAM PEMULIHARAAN ALAM SEKITAR
Posted on
 
F&N Beverages dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sekali lagi bekerjasama untuk menggalakkan pemuliharaan alam sekitar menerusi falsafah 4R dengan menganjurkan ‘Kempen Kitar Semula’ untuk murid sekolah bagi tahun kelapan berturut-turut.

Kempen ini yang berlangsung selama tiga bulan dan disokong oleh Jabatan Pendidikan Selangor, akan diadakan dari 2 April hingga 2 Julai 2014 yang disertai oleh sekolah rendah dan menengah, dan buat pertama kalinya, tadika di bawah pentadbiran MBSA. Kempen yang dinanti-nantikan ini akan mencabar peserta untuk mengumpul paling banyak bahan kitar semula, iaitu aluminum, plastik, dan kertas, yang menawarkan hadiah wang tunai sebagai ganjaran.

Berucap di majlis pelancarannya, Cariessa Goh, Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, mengumumkan hasrat syarikatnya untuk meluaskan kempen kepada lebih ramai peserta dan membawa mesej kitar semula kepada kumpulan umur baru, dengan memasukkan kategori tadika dalam kempen pada tahun ini.

“Kejayaan kempen ini terletak sepenuhnya pada kegigihan peserta untuk terus mengamalkan falsafah 4R dan menarik masyarakat untuk turut mengamalkannya,” katanya, sambil mengutarakan masalah alam sekitar yang semakin meruncing di negara kita. “Separuh daripada sungai di negara kita, yang merupakan sumber air minuman, sudah tercemar. Selain daripada itu, perubahan keadaan cuaca yang sangat drastik, iaitu kemarau dan jerebu mampu memudaratkan kesihatan kita. Semua ini mencerminkan kesan amalan kita yang tidak bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” tambahnya.
 
Selepas tujuh tahun berturut-turut menganjurkan kempen ini, F&N Beverages yakin kanak-kanak yang turut serta telah memahami nilai 4R – iaitu Reduce (kurangkan penggunaan), Reuse (guna semula), Recycle (kitar semula) dan Rethink (fikir semula) – dan mengamalkan nilai-nilai murni ini dalam kehidupan harian mereka. Setakat ini, hampir 750,000kg bahan kitar semula telah dikumpul dalam kempen ini.

Tahun ini, sekolah rendah dan sekolah menengah yang mengumpul paling banyak bahan kitar semula pada akhir kempen masing-masing akan memenangi hadiah utama RM1,500. Hadiah tempat kedua RM1,300 manakala hadiah ketiga RM1,200. Pemenang tempat keempat dan kelima masing-masing akan menerima RM1,100 dan RM1,000 manakala sekolah yang menduduki tempat keenam dan ketujuh masing-masing akan menerima hadiah sagu hati RM200.

Pemenang kategori tadika akan menerima RM300 sebagai hadiah utama, manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan membawa pulang RM200 dan RM100. Pemenang tempat keempat hingga kesepuluh masing-masing akan menerima hadiah sagu hati RM50.

Kempen ini juga menawarkan anugerah istimewa untuk sekolah (rendah atau menengah) yang mengumpul paling banyak bahan aluminum dan plastik. Pemenang setiap kategori akan menerima RM600.

Pembekal F&N, Tetra Pak (M) Sdn Bhd juga menyertai kempen tahun ini untuk menyokong inisiatif kitar semula dengan menawarkan hadiah wang tunai untuk kutipan paling banyak bahan kitar semula Tetra Pak. Sekolah rendah dan sekolah menengah yang mengumpulkan paling banyak bahan kitar semula Tetra Pak masing-masing akan menerima RM600 manakala juara kategori tadika akan menerima RM300.

Pada tahun lepas, S.K. TTDI Jaya menjuarai pertandingan bagi tahun kelima dalam kategori sekolah rendah manakala pendatang baru, S.M.K. Seksyen 24 dinobatkan sebagai juara kategori sekolah menengah.

Pelancaran kempen 2014 telah dirasmikan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haji Mohd. Jaafar Bin Haji Mohd Atan. Kempen ini akan berakhir dengan upacara penyampaian hadiah.

“Usaha mendidik orang ramai untuk mengamalkan sikap bertanggungjawab dan memainkan peranan aktif dalam menangani isu-isu alam sekitar adalah sangat penting. Dan inilah objektif utama yang ingin dilakukan oleh F&N!” kata Cariessa Goh.

Dalam komitmennya untuk melindungi alam sekitar, kumpulan F&N telah meletakkan tanda aras dan menilai serta memantau setiap aspek perniagaan dan kesannya ke atas alam sekitar. Syarikat berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menguruskan penggunaan sumbernya dengan cekap dan cermat.

MENGENAI F&N BEVERAGES MARKETING SDN BHD
F&N Beverages Marketing Sdn Bhd dan F&N Beverages Manufacturing Sdn Bhd (bersama-sama dipanggil F&N Beverages) membentuk bahagian minuman ringan Fraser & Neave Holdings Bhd. F&N Beverages adalah pengedar dan pengeluar minuman ringan terbesar di Malaysia, dan mempunyai tenaga kerja seramai 1,400 orang di 23 rangkaian pejabat di seluruh negara. Syarikat ini turut menguruskan empat kilang pengeluaran di seluruh negara, termasuk kilang serba canggih di ibu pejabatnya di Shah Alam, Selangor. F&N Beverages mengedarkan pelbagai produk F&N seperti 100PLUS, F&N Fun Flavours, SEASONS, myCola, Fruit Tree, air mineral Ice Mountain dan Kordial F&N. Syarikat juga turut mengedarkan produk Red Bull di Malaysia. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.fnbm.com.my


«  Back